KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng hari ini berkata anggota Jawatankuasa Pusat (CC) yang belum mengemukakan surat peletakan jawatan boleh berbuat demikian pada bila-bila masa namun mengingatkan mereka bahawa tarikh akhir ialah pada Jumaat ini.
Beliau berkata perlembagaan parti tidak menyebut secara khusus keperluan berhubung tarikh akhir untuk mereka mengemukakan surat peletakan jawatan.
Jika mereka menyerahkan surat peletakan jawatan menjelang Jumaat ini, ia akan memudahkan kepimpinan parti untuk mengambil tindakan susulan yang perlu, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Grand Mufti of Kazakhstan, Absattar Derbisali di bangunan Parlimen di sini.
Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 12 lagi pemimpin parti telah pun menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh selaku anggota CC kepada Wong bagi membolehkan pemilihan baru diadakan ke arah menyelesaikan krisis kepimpinan parti.
Selain Liow, pemimpin lain yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung, anggota veteran CC Datuk Wong Mook Leong dan Naib Presiden Tan Kok Hong.
Beberapa anggota biasa CC dilantik yang turut mengemukakan surat peletakan jawatan mereka ialah Lee Wei Kiat, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Senator Datuk Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment