Nov 27, 2009

Perutusan hari Raya Aidil Adha

Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Pada hari yang sangat besar ertinya kepada umat Islam ini, ketika mana Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan keturunan berhimpun di tempat letaknya kiblat umat Islam, kita dipersatukan dengan Islam yang menjadi panduan hidup manusia sehinggalah ke hari kiamat. Iman yang dimiliki oleh umat manusia inilah yang juga mempersaudarakan kalangan manusia dari pelbagai rupa bangsa samada dekat atau jauh, semuanya adalah bersaudara di antara satu sama lain. Kita membaca bagaimana umat Islam di zaman dahulu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadis Nabi saw, termasuklah dalam perkara hubung-kait antara satu sama lain walaupun mereka berselisih pendapat dan berbeza pemimpin, mazhab dan guru tetapi mereka berkasih sayang dan bermaafan. Kalau mereka berselisih pendapat atau berkelahi dengan mudah sahaja mereka berdamai kerana mereka menyelesaikan masalah dengan kembali kepada kepada Al-Quran dan Hadith Nabi saw. Kepada seluruh ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS), marilah kita terus menerus memperkukuhkan parti kita dengan sama-sama kita mengikhlaskan niat perjuangan kita kerana Allah, dan seterusnya kita beramal dengan kaedah perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Marilah kita berpegang teguh kepada firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59. “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” Juga sabda nabi s.a.w yang diucapkan ketika menunaikan haji selamat tinggal : “Janganlah kamu menyeleweng, menjadi kafir selepas aku wafat sehingga ada di kalangan kamu memancung leher dengan pedang-pedang di antara satu sama lain (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari & Muslim) Ikhlas, Presiden PAS

Muhyiddin ingin gagalkan tuntutan royalti - Husam

KOTA BHARU, 27 Nov: Kesanggupan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai Kaukus Parlimen berkaitan isu petroleum di negara ini sepatutnya mendapat sokongan dari semua pihak tanpa mengira parti kerana beliau adalah orang paling kanan dalam pentafsiran undang-undang yang berkaitan petroleum yang dikendalikan oleh Petronas. Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi,Kewangan dan Kebajikan Dato’Husam Musa ketika ditemui dimajis penyampaian sumbangan kewangan kepada warga Dun Salor di Surau berhampiran rumah beliau hari ini. Menurut Husam,tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin menghalang Ku Li daripada mengetuai Kaukus Parlimen tersebut adalah semata-mata ingin menggagalkan tindakan Kelantan yang ingin menuntut royalti dari Petronas. “Kaukus Parlimen yang ditubuhkan bukannya untuk kepentingan parti tetapi ia adalah satu tindakan bersama ahli parlimen tanpa mengira parti dalam sesuatu isu yang membabitkan parlimen dan dalam hal petroleum ini ia amat bertepatan kerana ia dibentangkan di parlimen sebelum ini”ujar beliau. Sebelum ini pihak pembangkang juga sering bersama kerajaan dalam sesuatu isu yang berkaitan negara dan juga luar negara seperti dalam isu menentang kezaliman Israel terhadap Palestin,bantuan bencana alam dan sebagainya. Husam juga berharap selain dari Ku Li yang menyertai Kaukus Parliemen ini,wakil-wakil rakyat dari negeri lain yang terlibat dalam isu petroleum juga patut menyertainya kerana ia melibatkan hasil sesebuah negeri. Menyentuh tindakan Muhyiddin yang mengganggap Ku Li melanggar prinsip BN,Husam berkata ini tidak timbul kerana Kaukus Parlimen sememangnya melibatkan semua ahli Parlimen dan Muhyiddin boleh dianggap tidak menghormati institusi Demokrasi Berparlimen. Sebelum itu,Husam telah menyampaikan sumbangan kewangan kepada 32 penerima dalam kategori sumbangan sosio –ekonomi kepada Armalah,Orang Kurang Upaya dan mangsa kebakaran dengan melibatkan RM 14 ribu yang telah mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Bharu. Husam berharap dengan sumbangan tersebut mereka yang menerima akan menjadikan ia sebagai modal untuk membuat sesuatu perniagaan secara kecil-kecilan dan sempena menyambut Hari Raya Aidil Adha esok, beliau ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua umat Islam.

Nov 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA BUAT SEMUA PEMGUNJUNG TERUSANLIAMBAT MAHAF ZAHAR & BATIN

Pemimpin parti politik wang tiada upaya selesai krisis MCA - Nik Aziz

KOTA BHARU, 26 Nov: Terlebih sudu dari kuah, mungkin ia dapat menggambarkan peringatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan krisis dalaman MCA yang semakin parah sekarang. Sedangkan Umno sendiri banyak perkara yang tidak boleh diselesaikan, malah lebih teruk berbanding MCA. Ini dibuktikan dengan rekod pertembungan sesama pemimpin Umno sehingga membawa kepada pengharaman Umno pada 1987. Ketika itu berlaku perebutan jawatan presiden Umno antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah. Kemudian berlaku lagi pertembungan di antara Dr Mahathir dengan ramai pemimpin Umno lain termasuk Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pertelingkahan dalaman Umno sehingga membawa kepada pengharaman parti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah parti politik di Malaysia. "Saya hairan tiba-tiba seorang pemimpin dari parti yang begitu tenat dengan masalah politik wang mampu menyelesaikan krisis MCA seperti yang dihasratkan Timbalan Perdana Menteri. "Bagi saya politik orang Cina lebih ke hadapan dan lebih matang. Macam mana Umno hendak ajar orang Cina berpolitik. "Apa perasaan orang Cina apabila Umno hendak ajar mereka berpolitik sedangkan rumah guru pun berselerakan," katanya di sini. Baru-baru ini Muhyiddin mahu diberi tempoh seminggu bagi menyelesaikan krisis dalaman MCA yang semakin tenat sekarang. Beliau membuat kenyataan itu selepas diberi amanah bagi menyelesaikan kemelut MCA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sibuk ke luar negara. Ekoran kenyataan Muhyiddin tersebut ramai pemimpin Cina marah kerana memperlihatkan sikap Timbalan Presiden Umno itu seorang yang angkuh dan memperkecil keupayaan pemimpin MCA menyelesaikan masalah mereka. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin politik Melayu Umno hanya masyhur mempertahankan politik wang. "Rekod pemimpin Umno cemerlang dalam sektor mengutip komisen. Sesetengahnya ada kelulusan sehingga peringkat PhD apabila mendapat kontrak memberi ali baba kepada pihak lain pula," tambahnya. Beliau juga berkata, sekiranya benar orang Cina mendengar nasihat pemimpin Umno, sudah tentu mereka telah memberi undi besar kepada Umno dan BN pada pilihan raya umum lalu. Sebelum ini Muhyiddin gagal menyelesaikan krisis Umno Terengganu yang kini terbelah kepada dua kumpulan iaitu Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh.

:harakah

Pemangku Raja lakukan ibadat korban raya kedua

KOTA BHARU, 26 Nov: Rakyat Kelantan berpeluang bersolat Hari Raya AidilAdha bersama Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra di Masjid Muhammadi Jumaat ini bermula jam 8.30 pagi. Pengelola Istana D'raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, selepas solat AidilAdha baginda akan berangkat ke majlis penghadapan di Istana Balai Besar. “Oleh itu muslimin dan muslimat serta penduduk bukan Islam boleh mengadap dan berhari raya bersama baginda selepas sembahyang hari raya di Masjid Muhammadi," katanya dalam satu kenyataan di sini. Pada hari raya kedua pula baginda akan berangkat ke kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji bagi menyempurnakan majlis korban. Manakala pada petang Khamis (sebelum hari raya) Pemangku Raja Kelantan akan berangkat ke makam Al-Marhumah Raja Perempuan Zainab II dan makam D’Raja Langgar dekat sini jam 5 petang.

Kaukus royalti: BN tidak sepatutnya menekan Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR, 26 Nov: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yakin Tengku Razaleigh Hamzah akan mengutamakan prinsip berpegang kepada kebenaran untuk mengetuai kaukus ahli-ahli parlimen berkaitan royalti petroleum. "Kaukus itu bersifat non-partisan di mana ia menghimpun Ahli-Ahli Parlimen tanpa mengira parti atau negeri. Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak juga dijemput. "Dengan semangat dan sifat sedemikian, saya yakin Tengku Razaleigh akan mengetuainya kerana perjuangan kaukus itu ialah untuk memastikan kehendak Perlembagaan dan undang-undang terutama Akta Petroleum dilaksanakan," katanya. Salahuddin menyifatkan gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Tengku Razaleigh Hamzah meneliti semasak-masaknya sebelum bersetuju mengetuai kaukus itu sebagai tindakan yang membelakangi tamadun dan kehendak undang-undang. "Saya berharap Muhyiddin tidak membawa pemikiran zaman batu yang primitif sehingga tidak boleh berkerjasama untuk kepentingan rakyat dan demi melaksanakan kehendak undang-undang. "Kita pun tahu bahawa Tengku Razaleigh adalah Ahli Parlimen yang mewakili Barisan Nasional (BN), tetapi jika PAS dan Umno boleh bersama-sama memperjuangkan hak rakyat Palestin di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dahulu, mengapa pula tidak boleh berkerjasama demi kepentingan rakyat Kelantan dan rakyat negeri-negeri lain yang berhak di sini undang-undang untuk mendapat bayaran tunai royalti minyak sedangkan mereka adalah rakyat negara ini," tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu. Menurut beliau, Tengku Razaleigh juga dijemput mengetuai kaukus itu atas sifatnya sebagai negarawan dan orang yang terlibat sejak dari awal lagi dalam isu royalti. "Adalah tidak matang bagi BN mengenakan tekanan kepada Tengku Razaleigh dan menghalang kerjasama anggota badan legislatif negara tanpa mengira parti untuk memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya. Minggu lalu, Tengku Razaleigh mengulangi penegasannya sebelum ini bahawa Kelantan berhak mendapat royalti minyak. Bekas Menteri Kewangan itu terlibat mendrafkan Akta Petroleum yang memberi jaminan bayaran tunai royalti minyak sebanyak lima peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak. Pengerusi Petronas yang pertama itu juga menegaskan bahawa Kelantan berhak di sisi perlembagaan untuk menerima royalti minyak itu. Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Tengku Razaleigh bersetuju untuk menimbangkan pelawaan untuk mengetuai kaukus ahli-ahli parlimen berkaitan royalti petroleum itu. Hari ini, Muhyiddin membayangkan rasa tidak senangnya dengan tindakan Tengku Razaleigh itu. Beliau berkata, pada dasarnya BN tidak terlibat dengan perkara-perkara sedemikian kerana terikat dengan prinsip parti. "Eloklah Tengku Razaleigh teliti semasak-masaknya walaupun ia melibatkan negeri Kelantan tetapi ini ditaja oleh pihak parti pembangkang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang nak mengusahakannya. "Jadi, kalau atas dasar yang biasa, biasanya kita tidak fikir sesuai tetapi saya percaya Tengku Razaleigh faham tentang itu dan kita serah kepada kebijaksanaan beliau untuk teliti sebelum buat keputusan muktamad. "Saya fikir beliau orang lama dalam parti, dia tahulah keputusan apa yang dia nak buat," katanya. :harakah

Nov 25, 2009

USAHA MERAMPAS KUASA DI KEDAH

Mungkin ada yang tertanya,apakah PRK yang berlaku di kota seputeh akan mengembalikan kegemilangan kemenangan cemerlang kepada PR dalam pilihanraya kecil sebelum ini (tolak di Batang Ai & Bagan Pinang)?

Bagi aku sendiri,ini adalah medan yang pertempuran yang akan memanjangkan penguasaan semula era atau hayat politik keluarga Dr Mahathir setelah hampir disisihkan atau dipinggirkan oleh menantu Tun Abdullah iaitu Khairi Jamaluddin.

Sudah dijangka awal,jika kemenangan BN berlaku di PRK Pmtg Pasir setelah kematian ADUN Dato Haji Hamdan,sudah pastinya semangat itu akan di bawa di Kota Seputih.Malangnya kekalahan yang berganda serta tewas dengan majoriti yang tinggi (walaupun tidak melebihi daripada Majoriti 2008 akibat pilihanraya berlaku pada waktu bekerja).

Itulah yang menyebabkan kekosongan di DUN Kota Seputih tidak berlaku sehinggalah kemenangan bergaya BN di Bagan Pinang bagi menaikkan semangat petugas jentera BN ataupun isu penerimaan masyarakat di Bagan Pinang akan dibawa ke Kota Seputih.

Tujuan utamanya ialah bagi membawa Dato Mukriz Mahathir Ahli Parlimen Jerlun sebagai calon BN di Kota Seputih walaupun dinafikan oleh TPM Muhyiddin Yasin.Ini adalah usaha ataupun bakal digunakan kempen BN bagi memperingati jasa-jasa Dr Mahathir di Kedah ataupun sebagai mantan PM yang akan memberikan sedikit kelebihan kepada BN dalam sepanjang kempen nanti.

Kita juga perlu faham,dalam usaha BN merampas negeri yang dikuasai PR,Mukriz adalah calon terbaik di Kota Seputih memandangkan BN Kedah kena menonjolkan bakal Menteri Besar bagi pihak mereka supaya ianya dapat diterima rakyat negeri kedah.Ketahuilah,PR Kedah kena menilai kesemua aspek ini agartidak tergelincir daripada membaca taktik yang cuba dibawa BN di Kedah.Ayuh & Awas kepada pimpinan PR Kedah!!!

http://malaysiabiz-aloha.blogspot.com/2009/11/usaha-umno-kedah-untuk-merampas-kedah.html

- Aloha2 - Malaysia Biz

ABIM Minta Perhalusi Pindaan Akta 164 Sebelum Dilaksanakan

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyarankan agar cadangan meminda akta untuk membaharui undang-undang perkahwinan dan perceraian 1976 diperhalusi sebelum dilaksanakan.

Abim secara umum bersetuju dengan cadangan untuk meminda sub seksyen 51(1) akta tersebut yang memperuntukkan hanya pasangan yang bukan Islam sahaja boleh memfailkan petisyen penceraian di mahkamah sivil.

Bagaimanapun menurut Abim, pindaan tersebut dilihat akan memberi impak terhadap seksyenseksyen lain dalam akta yang sama terutama yang melibatkan aset perkahwinan, pemberian nafkah, hak penjagaan anak, liabiliti dan tanggungan yang berkaitan dengan perceraian yang disebabkan oleh salah seorang pasangan memeluk Islam.

"Justeru Abim menyarankan agar pindaan ini turut diteliti memandangkan ia (pindaan) akan turut memberikan kesan terhadap peruntukanperuntukan yang terdapat dalam akta serta enakmen undang-undang keluarga Islam.

"Ini untuk mengelakkan pindaan ini daripada mengurangkan serta menjejaskan kredibiliti, hak dan bidangkuasa eksklusif mahkamah syariah," menurut ABIM dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Abim juga mahu pandangan daripada Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Mufti mengenai pindaan tersebut dipertimbangkan bagi mendapat pandangan daripada segi hukum syarak dan implikasi pindaan ini terhadap hak beragama dan status agama anak-anak daripada perkahwinan tersebut.

Ini termasuk mendapat pandangan daripada pakar undangundang dan ahli akademik bagi mengharmonisasikan undangundang sivil dan syariah dan memastikan intipati dan hasrat perundangan syariah tetap dipertahankan walaupun prosiding dilaksanakan di mahkamah sivil, katanya.

Semalam, Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara Mohamad Naser Disa dalam satu taklimat mencadangkan agar Akta 164 iaitu Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1967 dipinda bagi membolehkan mereka yang memeluk agama Islam turut diberikan hak untuk memfailkan petisyen penceraian di mahkamah sivil.

Akta itu sebelum ini hanya terpakai kepada mereka yang bukan Islam sahaja memfailkan perceraian bagi perkahwinan sivilnya di bawah subsekyen 51(1). BERNAMA

Husam Tidak Mahu Jawatan MB Kelantan

KOTA BAHARU: Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi Menteri Besar Kelantan kerana senioriti serta hiraki di dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan.

"Semua calon layak, Timbalan Menteri Besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.

"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap down sindrom di Kampung Becah Keranji, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri di mana wujudnya Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya Satu hingga Tiga.

Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.

Sehingga kini Ahmad yang disebutsebut di kalangan pemimpin dan penyokong PAS Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontraversi.

Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebutsebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.

Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.

Husam berkata beliau akan mengkaji dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan akhbar New Straits Times Press (NSTP) dan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita berbau fitnah terhadapnya.

Katanya, beliau memberi tempoh seminggu ke atas keduadua akhbar itu untuk menyiarkan kenyataan permohonan maaf terhadapnya sebelum beliau mengemukakan saman di mahkamah.

Husam sebelum ini "diserang" oleh media tempatan dengan dakwaan beliau telah meletak jawatan dalam kerajaan dan politik berikutan konon beliau memberikan kata dua kepada Nik Abdul Aziz berhubung pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda PAS yang berkaliber, Husam berkata beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk menanyakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam. BERNAMA

Kerajaan Selangor Haramkan Kakitangan Negeri dan Pelajar IPT Milik Selangor Hadiri Kursus BTN

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini memutuskan bahawa semua penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT), yang dimiliki oleh kerajaan negeri itu tidak dibenarkan mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Arahan tersebut turut melibatkan kakitangan jabatan Kerajaan Negeri dan pegawai dari anak-anak syarikat serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Rabu.

Dr Halimah berkata keputusan itu diambil selepas beberapa kajian mendapati kursus BTN yang dijalankan merupakan satu proses ‘indoktrinisasi’ Kerajaan Barisan Nasional.

Ini, kata beliau, boleh menimbulkan fenomena yang agak rasis, seolah-olah ingin memecahkan penduduk-penduduk pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

“Insya-Allah kita akan mengeluarkan surat arahan formaliti kepada institusi pengajian tinggi (IPT), jabatan serta agensi milik kerajaan negeri Selangor berhubung isu tersebut,” katanya.

Antara IPT yang terlibat adalah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Industri Selangor (Unisel), Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Inpens.

Menurutnya, kebanyakan peserta yang menyertai kursus BTN ini juga dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada pihak pembangkang kerajaan di negara ini.

“Oleh kerana (kursus BTN) ini tidak memberi kesan yang positif terutamanya kepada golongan muda, kerajaan negeri membuat keputusan tidak perlu menghabiskan wang rakyat untuk kursus sebegini,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri berpendapat adalah lebih baik jika mereka memberi peluang kepada golongan mahasiswa dan kakitangan kerajaan di negeri itu mengikuti kursus-kursus yang lebih membina dalam usaha memupuk perpaduan sejati di kalangan rakyat Selangor.

“Insya-Allah usaha sebegini akan melahirkan masyarakat cemerlang supaya Selangor boleh jadi benar-benar maju, sejahtera, berkebajikan dan idaman semua orang,” katanya

Selasa minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat daripada parti gabungan pembangkang itu telah menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah membuat desakan itu ialah Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

:mstar