KUALA LUMPUR, 29 Mac: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr  Lo' Lo’ Mohamad Ghazali (gambar) mempersoal tindakan  Mohd Nizar Zakaria (BN- Parit) yang hanya menuding jari kepada Pakatan  Rakyat berhubung isu fitnah yang dibangkitkan ahli parlimen itu.
Beliau yang bangun  mencelah, memohon penjelasan Nizar berhubung isu fitnah terhadap Ketua  Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didedahkan Zulkifli Noordin  (Bebas-Kulim Bandar Baharu) sebelum ini.
"Yang Dipertua, semasa  Kulim Bandar Baharu berucap, saya telah menerima satu SMS daripada  seorang ahli jemaah surau Al-Mutmainnah Pandan Perdana kalau tak silap  saya, beliau menyatakan kenapa Kulim Bandar Baru atau Zul Noordin lidah  bercabang?
"Saya tanya balik apa yang dimaksudkan lidah  bercabang, maka dia kata di surau hari itu dia cakap 'PM yang bom  Mongolia' tetapi sekarang dia mengatakan ada fitnah pula tentang perkara  tersebut.
"Kemudian pada masa yang sama juga Kulim Bandar Baharu  juga menyebutkan fitnah terhadap Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar  Ibrahim).
"Kenapa perkara ini tidak langsung diambil perkiraan  oleh YB Parit? Saya mohon penjelasan," katanya sambil memohon maaf  kerana terpaksa membacakan SMS tersebut.
Beliau membangkitkan  persoalan itu sewaktu Nizar membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.
Nizar  sewaktu memulakan perbahasannya mendakwa pihak pembangkang serta akhbar  Harakah, Suara Keadilan dan Roket sering memutarbelitkan fakta.
Bangun  mencelah sejurus dakwaan itu, Datuk Ismail Muttalib (BN-Maran) yang  memohon penjelasan berhubung dakwaan Zulkifli Noordin bahawa banyak  fitnah berlaku dalam Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, persoalan Dr  Lo' Lo’ tidak dijawab Nizar yang kemudiannya diarah Timbalan Yang  Dipertua, Datuk Ronald Kiandee supaya menggulung perbahasan.
Sementara itu, Zulkifli petang ini melahirkan rasa kecewa dengan Dr Lo' Lo' kerana membacakan SMS berkenaan.
Ini kerana baginya SMS yang dibacakan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa itu boleh direka.
 
 
 
 

No comments:
Post a Comment