KOTA BHARU, 29 Mac: Tuan Guru Datuk  Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan pertamanya selepas dipilih semula  sebagai Mursyidul Am meminta semua pihak dalam PAS agar membantu beliau  bagi menjayakan misi parti bersama dengan Pakatan Rakyat.
"Saya  berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus  memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan  Rakyat," kata beliau dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada media  sekejap tadi.
Kenyataan ini dibuat beliau selepas dipilih sekali  lagi sebagai Mursyidul Am dalam mesyuarat kedua Majlis Syura Ulamak PAS  pagi tadi. Turut dipilih semula adalah Datuk Dr Haron Din sebagai  timbalannya.
Dalam kenyataan itu beliau berkata, "menyedari  harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan  lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah  Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju  parti."
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:-
KENYATAAN  RASMI
YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI  BESAR KELANTAN
PERLANTIKAN SEMULA SEBAGAI
AL-MURSYIDUL  AM PAS
• Saya telah dimaklumkan mengenai perlantikan semula saya  sebagai Al-Mursyidul Am bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk sesi  2010-2015 sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat kedua  Majlis Syura pada hari ini, jam 10 pagi pada hari ini, 29 Mac 2010.
•  Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat  di atas kepercayaaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang  berat ini. Ia juga adalah satu cabaran bagi saya untuk terus memberikan  khidmat sebagai Al-Mursyidul Am menurut apa yang termaktub di dalam  Perlembagaan PAS.
• Namun, saya anggapkan ia sebagai ketentuan  Allah Subhanahu wataala kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas  ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan  saya. Bahkan pada pagi ini pun, saya baru saja menghadiri sesi  pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang  Kerian.
• Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, bahawa  saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima pelantikan ini  sekiranya Majlis Syura berpandangan untuk terus memberi kepercayaan  kepada saya. Saya sifatkan itu adalah keputusan ‘syura’ yang bakal  membantu saya memikul amanah ini. Lebih-lebih lagi di dalam  mempersiapkan upaya parti menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 nanti.
•  Menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura,  maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar  Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala  tuju parti.
• Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di  pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan  misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat.
Semoga kerjasama dan  husnul-zhon (sangka baik)dari semua kepimpinan, saya yakin PAS akan  terus menjadi parti yang perkasa dan Insya-Allah PAS di Kelantan  bersama-sama PAS di seluruh Negara akan terus utuh bersama-sama  rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam mendepani cabaran politik baru di  Malaysia hari ini.
Sekian, wassalam.
TUAN GURU DATO’  HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 29 Mac 2010 
 
 
 
 

No comments:
Post a Comment