KOTA BHARU, 8 Mac: Mangsa kebakaran tiga buah rumah papan daripada tiga keluarga adik beradik di Kampung Penambang Hilir, Mukim Tikat, dekat sini menolak sama sekali tuduhan pihak tertentu termasuk pemimpin Umno tempatan yang mendakwa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat gagal memadamkan kebakaran disebabkan halangan jalan masuk yang sempit.
Selain jalan sempit, pihak berkenaan menuduh kononnya pintu gerbang berlambangkan bulan yang tersergam dekat jalan masuk utama ke rumah mereka di Jalan Kota Bharu – Pantai Cahaya Bulan (PCB) dekat sini juga menjadi halangan.
Azman Abdul Karim, 45 salah seorang ketua keluarga mangsa kebakaran ketika menolak tudahan itu menegaskan pihak Bomba dan Penyelamat datang bersama kenderaan dan peralatan yang cukup, bahkan mampu memadamkan kebakaran, namun kerana kebakaran itu membabitkan rumah papan menyebabkanapi merebak begitu pantas.
“Saya menolak sama sekali tuduhan bahawa Bomba dan Penyelamat gagal menyelamatkan kebakaran rumah kami disebabkan halangan jalan masuk utama serta pintu gerbang yang berada di muka jalan. Persoalan utama ialah kerana rumah kami yang terbakar itu rumah dibina dari papan, api menyambar dengan pantas.
“Bomba datang dengan peralatan yang cukup dan mampu memadamkannya. Kegagalan menyelamatkan kebakaran itu tidak ada kaitan langsung dengan masalah jalan masuk dan pintu gerbang itu,” tegasnya ketika ditemui di tempat kejadian petang semalam sempena kunjungan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut menyampaikan sumbangan. (gambar sebelah)
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar serta pegawai kerajaan negeri, Penghulu Mukim Tikat, Abdul Aziz Abdul Latif dan pimpinan masyarakat.
Wan Ubaidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang turut menyampaikan bantuan kewangan, pakaian serta beg sekolah kepada keluarga mangsa tersebut.
“Punca kejadian di luar jangka, tetapi menurut pihak Bomba dan Penyelamat, mungkin ianya berpunca dari litar pintas,” kata Azman lagi.
Menurutnya, taksiran kerugian ketiga-tiga buah rumah itu termasuk barangan keperluan dan kelengkapan rumah dianggarkan RM300,000.
Kebakaran yang memakan masa kira-kira lima belas minit pada 10.00 pagi Rabu lepas, membabitkan tiga buah rumah dari tiga keluarga adik beradik, hangus sama sekali.
Semua dokumen penting termasuk dokumen serta peralatan persekolahan anak mereka seramai 15 orang yang masih bersekolah itu gagal diselamatkan.
Semasa kejadian, tiga keluarga itu tidak ada di rumah, manakala anak mereka pula berada di sekolah.
No comments:
Post a Comment