http://www.bio-asli.com/gambar/rasmi-1.jpg
pas-for-all2
http://www.moh.gov.my/MohPortal/images/popup-h1n1.png

Mar 6, 2010

Dr Chua Enggan Ulas Spekulasi Tanding Jawatan Presiden

PETALING JAYA, 6 Mac (Bernama) -- Bekas Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada Sabtu enggan mengulas spekulasi bahawa beliau akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti 28 Mac ini. "Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada orang yang buat spekulasi seperti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis rumah terbuka MCA Bahagian Petaling Jaya Utara dan Friends of Petaling Jaya dengan penduduk Petaling Jaya Utara di sini. Ditanya sama ada beliau akan bertanding semula mana-mana jawatan pada pemilihan itu yang akan diadakan selepas 21 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti termasuk dirinya meletak jawatan Khamis lalu, Dr Chua berkata beliau belum pasti. "Itu tak tau you (anda) kena tanya atas," katanya sambil memandang ke langit dan disambut gelak ketawa orang ramai. Beliau berkata apa yang penting bukanlah bertanding tetapi proses pemilihan yang bakal diadakan nanti berjalan dengan baik mengikut perlembagaan MCA dan keputusannya dihormati pucuk pimpinan. Mengenai keputusan Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen yang meletak jawatan sebagai Naib Presiden MCA selepas pulang dari luar negara, Dr Chua turut mengalu-alukannya dan meminta sembilan lagi anggota CC yang dipilih supaya turut berbuat demikian. "Beliau (Dr Ng) menghayati dan menyokong tindakan kami supaya mengadakan pemilihan yang baru," katanya. Dr Chua juga berkata, mesyuarat agung tahunan (AGM) MCA yang dijadualkan esok adalah tidak menepati perlembagaan MCA. "Kalau kita perhatikan fasal 33 dibaca bersama-sama fasal 41 adalah jelas bahawa AGM yang bakal berlangsung esok adalah tidak menepatinya," katanya. Bagaimanapun, katanya ia tidak bermaksud bahawa beliau mengatakan bahawa AGM yang akan berlangsung pada Ahad tidak sah, sebaliknya hanya tidak menepati perlembagaan MCA sahaja. "Kerana kalau ikut fasal 33, ia jelas mengatakan bahawa mesyuarat agung MCA seharusnya merangkumi ahli jawatankuasa pusat, hampir kesemua mereka telah letak jawatan. Daripada 31 orang tinggal sembilan sahaja, ia merupakan minoriti," katanya.

No comments:

Post a Comment