Sudah banyak tulisan berhubung dengan kepimpinan Pakatan Rakyat. Tujuannya tidak lain ialah bagi memperkasakan parti-parti dalam pakatan supaya bersedia menghadapi kemungkinan mengambilalih tampuk pemerintahan kerajaan Malaysia menggantikan UMNOBN. Sebab selagi isu kepimpinan tidak dapat diselesaikan selagi itu akan menampakkan bahawa Pakatan belum layak untuk memerintah.
Terutama yang nampak goyah ialah kepimpinan serta YB-YB dari Keadilan dan kepimpinan PAS Pusat.
Artikel serta pandangan pemerhati politik terutamanya Prof.Dr.Aziz Bari(UIA) dan Dr.Abu Hassan (UM) cukup tepat. Iaitu pandangan mengikut senario sebenar dan semasa. Persepsi sebenar ahli parti dan lebih penting ialah pengundi-pengundi/penyokong parti yang bukan ahli tetapi merekalah yang banyak menentukan naik turun parti dalam pilihanraya.
Pimpinan perlulah mengambil sikap terbuka dan berlapang dada. Tidak boleh menurut kehendak hati atau penasihat di sekeliling. Lihatlah secara lebih luas. Perlu peka terhadap sebarang perubahan situasi dan mendengar dengan telinga bionik kepada sebarang pandangan massa. Massalah yang menentukan bukan pimpinan. Pimpinan cuma menjalankan tugas yang diamanahkan. Kuasa massa atau rakyat cukup kuat dan hebat, pada bila-bila masa sepanjang sejarah.
Angin perubahan mula bertiup beberapa tahun lepas, dan hampir diterjemahkan pada PRU12. Alhamdulillah, Malaysia belum jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Rupanya banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Rakyat mestilah nampak bahawa bila Pakatan memerintah, ada perbezaan , ada kelainannya. Bukan "cut and paste" dari pemerintahan terdahulu.
Menyentuh tentang pimpinan, kita terus akan tertumpu kepada Presiden PAS Tuan Guru Haji Hadi, Tuan Guru Nik Aziz dan Anwar Ibrahim selain kepimpinan DAP yang nampaknya lebih kolektif. Peribadi besar tersebut menjadi perhatian ahli dan rakyat setiap masa.
Dalam PAS, kita tidak dapat lari dari isu ugamawan. Tuan Guru Haji Hadi adalah tokoh yang hebat suatu masa dahulu dengan pidatonya sehingga dapat memenangi hati rakyat seterusnya mendapat kepercayaan ahli menggantikan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Tuan Guru Nik Aziz pula menapak di negeri Kelantan sahaja, tidak menonjol di peringkat pusat sehinggalah dilantik sebagai Mursyidul 'Am.
Jarang kita dapati seorang ugamawan sekaligus mempunyai visi politik yang mantap dan tegas. Tidak semua orang ahli ugama, bijak dalam berpolitik terutama bagi menyelesaikan sesuatu isu yang timbul dengan bijak dan berhemah, bahkan dikehendaki "nampak" cukup bijak! Sebab itu timbulnya sikap "malu alah" ahli terhadap kepimpinan samaada negeri atau pusat bila seseorang itu sudah dikenali sebagai ugamawan. Inilah yang berlaku dan telahpun disebut secara jujur oleh Dr.Aziz dan Dr.Abu Hassan. Bukan atas dasar tidak menghormati tetapi kenyataan yang berlaku di depan mata. Tokoh seperti Tuan Guru Haji Hadi, Us.Nasharuddin, Mustapha Ali, Dr.Hassan Ali dan lain-lain yang menimbulkan persepsi kurang dihormati rakyat banyak haruslah mengundurkan diri secara terhormat demi menjaga sebuah jemaah demi masa depan rakyat.
Harus disedari ahli dan penyokong parti mempunyai banyak perbezaan. Yang paling ramai dari keduanya adalah penyokong parti. Iaitu rakyat ramai yang merupakan penentu sesebuah parti. Ahli adalah suatu kelompok elite bagi yang ingin berkhidmat kepada parti dan mempunyai matlamatnya masing-masing. Sedangkan rakyat penyokong terbanyak ingin melihat suatu keadaan yang berbeza dari berpayung di bawah pemerintah terdahulu. Jadi perbezaan itu mestilah jelas dan boleh dinampak oleh rakyat secara jelas. Keadaan aman damai, mempunyai peluang pekerjaan, mengamalkan ugama dengan tenang, bekerjasama tolong menolong dengan pelbagai keturunan bangsa, kehidupan berkeluarga yang baik, pendidikan anak-anak sempurna, perubatan dan kesihatan bertambah baik serta tidak membebankan, semua tender kontrak dibuat telus, harta pimpinan di odit secara telus dan benar....dan ini semua adalah impian rakyat terbanyak.
Alhamdulillah kita mempunyai tokoh muda sebagai pemerhati dari luar serta berminat dengan parti Islam PAS. Di atas keberanian mereka ini patutlah dipuji kerana tidak menjadi sebahagian "penjilat" . Yang memerhati dari luar kadang lebih luas pandangannya berbanding dengan tokoh politik dalam parti yang tidak nampak jelas apa yang berlaku di sekeliling. Dengan adanya medium massa baru maka segala maklumat dapat diketahui dengan cepat dan membolehkan pihak kepimpinan menyelesaikan dan bertindak cepat. Sekarang sebarang isu tidak boleh di "peram" begitu sahaja. Perlu tindakan segera dan tidak lembik.
"Insha Allah Islam Pasti Menang"!
- Ahmad Shuhaimi 08.11.2009








No comments:
Post a Comment