Awal malam tadi mungkin ramai yang tertunggu-tunggu rancangan Hujah di TV9 yang bakal menampilkan calon Timbalan Presiden PAS iaitu YB Husam Musa dengan Menteri Pertahanan iaitu YB Zahid Hamidi yang juga bekas anak didik DS Anwar. Saya terlalu yakin bahawa Zahid Hamidi pasti akan muncul dalam rancangan tersebut kerana beliau dikenali di dalam Umno sebagai tokoh politik yang berani, pandai berpidato serta kelihatan `bersih' keperibadiannya. Apatah lagi, topik yang akan dibincangkan adalah berkenaan dengan politik wang, masakan Zahid mahu mengelak diri dari memperkatakan topik tersebut kerana beliau sendiri pernah menyatakan Umno teramat serius untuk membenteras politik wang.
Sudah tentu bukan sahaja penyokong-penyokong pembangkang yang ingin melihat kehebatan Husam Musa di dalam mengulas isu ini, tetapi saya percaya ramai di kalangan ahli-ahli Umno dan Bn yang ingin mendengar bagaimana formula Zahid untuk menghapuskan politik wang yang sudah sebati dengan Umno ketika ini. Malang sekali, Menteri Pertahanan yang sepatutnya mempunyai jiwa keberanian umpama tentera, disaat-saat akhir menarik diri dari menyertai rancangan tersebut. Saya rasa semacam sudah menjadi `badi' pula buat Zahid dengan penarikan diri Umno untuk bertanding di dalam PRK Dun Penanti hinggakan terpaksa menarik diri dalam rancangan yang sudah diatur ini. Saya tidak ingin mengatakan Zahid pengecut, tetapi kalau ada yang berkata demikian sukar untuk saya menepisnya. Saya juga tidak tergamak menuduh Umno pengecut di Dun Penanti, tetapi jika ada yang beranggapan demikian mungkin saya terpaksa bersetuju. Pada anggapan ahli-ahli Umno, parti mereka adalah parti yang kuat dan gagah serta pantang dicabar, oleh yang demikan wajar Umno tarik diri dari bertanding di PRK Dun Penanti. Kelakar tapi tidak pelik juga.
Memandangkan rancangan Hujah TV9 telah diatur, maka terpaksa dibawa masuk Raja Sesumpah yang terlalu banyak jasanya kepada Umno itu. Atas kapasiti apa Raja Sesumpah itu dipanggil? Ketua Cawangan Umno? Ketua Pemuda Cawangan Umno? AJK Bahagian Umno atau Ahli MKT Umno ? Menteri atau Timbalan Menteri jauh sekali. Topik yang hendak dibincangkan adalah melibatkan dasar parti dan kerajaan, maka pelik juga mengapa sebarangan orang dibawa untuk mengulas isu tersebut? Apakah rancangan tersebut bertujuan untuk memperkecilkan Umno? Pada hemat saya, tindakan Husam Musa yang menangguhkan dahulu penyertaan beliau di dalam rancangan tersebut tepat sekali. Biar buku bertemu ruas, dan Husam akan membuang banyak masa melayani Raja Sesumpah yang mempunyai ` lidah bercabang' itu. Raja Sesumpah yang tiada jawatan di dalam Umno itu hanya sesuai berbicara atau bertegang urat di warung-warung kopi sambil kena teh tarik sahaja.
Saya berharap di lain masa, TV9 akan dapat mempertemukan tokoh-tokoh yang hebat di dalam rancangan tersebut. Penonton tidak mahu melihat pencacai-pencacai yang tidak ketahuan berbicara di dalam rancangan berbentuk ilmiah tersebut. Kita masih menunggu bilakah masanya TV9 akan mempertemukan dua tokoh iaitu Najib dan DS Anwar. Mungkin harapan kita ini seperti mengharapkan `kucing bertanduk'. Tetapi, ianya tidak mustahil berlaku sepertimana kita tidak pernah menjangkakan Speaker Dewan boleh `diragut' dan diheret keluar dari Dewan. Tiada yang mustahil di bawah PMR (Perdana Menteri Rakyat).
http://wfauzdin.blogspot.com/2009/05/ezam-berkokok-seorang-diri-di-tv9.html
Nota:
Tarik Diri Dari Hujjah Kenyataan Husam Dari Sri Pentas PDF Print E-mail Tuesday, 26 May 2009 21:25MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASASetelah tiba di Sri Pentas Bandar Utama, untuk menyertai program Hujjah secara langsung di TV9 jam 9.35 malam ini sebagai ahli Panel bersama Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, saya dimaklumkan oleh penerbit rancangan, YB Menteri berkenaan tidak dapat hadir kerana keuzuran.
Oleh yang demikian saya dengan rasa dukacita, menarik diri dari menyertai program ini dan menasihati penerbit rancangan supaya ianya ditunda kepada satu tarikh lain di masa hadapan yang sesuai dengan jadual YB Menteri. Ini kerana pengganti yang dijemput mengambil alih tempat YB Menteri, tidak memegang jawatan di dalam Kerajaan dan juga partinya yang memberi beliau keupayaan untuk bercakap bagi pihak Kerajaan atau partinya apalagi keupayaan untuk membawa perubahan kepada pentadbiran Kerajaan serta partinya.
Saya mencadangkan kepada penerbit rancangan supaya menjemput Pengerusi GERAK bagi menggantikan tempat saya. Ini amat sesuai memandangkan ahli panel yang menggantikan tempat YB. Menteri adalah bekas Pengerusi GERAK.
No comments:
Post a Comment